Gunung Tangkuban Perahu yang terletak kira-kira 30 km dari utara
bandar Bandung ini merupakan salah satu gunung berapi yang masih hidup
tetapi kurang aktif dan merupakan antara tarikan alam semulajadi yang
paling popular.
Letusan terakhir gunung berapi setinggi 2,084 meter ini adalah pada
tahun 2013. Menariknya Gunung Tangkuban Perahu ini, anda boleh berada
hampir sehingga ke kawah gunung berapi samada anda berjalan kaki atau
menaiki kenderaan.
Untuk kunjungan anda yang pertama ke Gunung Tangkuban Perahu, anda
dinasihati untuk mengambil khidmat pemandu pelancong yang dilantik badan
pelancongan di sana ataupun anda boleh terus mengambil pakej ke Bandung
yang menawarkan lawatan ke Tangkuban Perahu yang termasuk pemandu
pelancong.
Di sini juga merupakan antara lokasi bergambar yang popular di
kalangan pelancong. Jangan lupa membawa kamera untuk merakam keindahan
alam dan kenangan anda bersama keluarga atau rakan-rakan di sana.
Pastikan anda membawa wang dan makanan yang mencukupi ketika lawatan.
Perkhidmatan ATM tidak disediakan di sini dan harga makanan yang dijual
di sini juga agak tinggi disebabkan faktor lokasi. Anda juga boleh
membeli cenderamata di sini.
Menurut mitos atau lagenda Tangkuban Perahu, terdapat seorang puteri
raja bernama Dayang Sumbi yang cantik dan cerdas tetapi amat manja. Pada
suatu hari, Dayang Sumbi menenun kain tetapi pintalan benangnya asyik
jatuh ke lantai. Sehingga sampai satu ketika, Dayang Sumbi yang naik
berang apabila pintalan benangnya masih jatuh untuk kesekian kalinya,
telah bersumpah bahawa sesiapa yang pertama mengembalikan semula benang
yang jatuh akan dikahwininya.
Malangnya pintalan benang itu digigit dan dihantar ke tapak tangan
Dayang Sumbi oleh seekor anjing sakti bernama Tumang. Mahu ataupun
tidak, Dayang Sumbi terpaksa bernikah dengan anjing sakti tersebut.
Perkongsian hidup mereka berdua akhirnya melahirkan seorang anak
lelaki bernama Sangkuriang. Sejak kecil, si anak kerap ditemani anjing
sakti tersebut yang merupakan teman setia kepadanya. Namun, Sangkuriang
tidak mengetahui bahawa anjing sakti tersebut adalah ayahnya.
Pada suatu hari, Dayang Sumbi menyuruh Sangkuriang memburu rusa untuk
satu majlis keramaian. Setelah puas memburu, Sangkuriang gagal
mendapatkan rusa seperti yang diminta ibunya. Tetapi oleh kerana tidak
mahu mengecewakan ibunya, Sangkuriang membunuh anjing sakti dan
menyerahkan daging anjing sakti kepada ibunya, seolah-olah daging rusa
hasil buruannya.
Dayang Sumbi mengetahui bahawa anaknya telah membunuh Tumang hanya
setelah selesai majlis keramaian tersebut. Disebabkan terlalu marah,
Dayang Sumbi memukul Sangkuriang sehingga luka anaknya itu di bahagian
keningnya dan kemudian menghalaunya keluar istana. Sangkuriang pun
mengembara dan membesar di luar istana sehingga dewasa.
Beberapa tahun kemudiannya, Sangkuriang telah jauh cinta pada seorang
wanita cantik. Tidak diketahuinya bahawa wanita itu adalah ibunya yang
selama ini kekal muda dan tidak lagi mengenalinya. Mereka akhirnya
memutuskan untuk berkahwin, sehinggalah pada satu hari, apabila Dayang
Sumbi membelai rambut kekasihnya, dan ternampak bekas parut pukulannya.
Dayang Sumbi cuba menggagalkan perkahwinan mereka sambil merahsiakan
keadaan sebenar dari Sangkuriang. Beliau berhelah dengan meminta syarat
perkahwinan yang mustahil — iaitu Sangkuriang perlu membuat sebuah tasik
yang boleh menutup seluruh bukit dan membuat sebuah perahu untuk mereka
menyusuri tasik tersebut. Ia juga perlu disiapkan sebelum fajar.
Sangkuriang menggunakan kuasa saktinya beserta bantuan dari alam jin
untuk membantunya. Apabila hampir fajar, Sangkuriang hampir selesai dan
hanya perlu menebang pokok untuk menyiapkan perahunya.
Dayang Sumbiyang kaget akhirnya meminta bantuan dewi-dewi kayangan
untuk mempercepatkan fajar dari biasa. Matahari terbit lebih cepat
seterusnya menggagalkan usaha Sangkuriang.
Berang kerana merasa tertipu, Sangkuriang menendang perahunya ke
dalam hutan sehingga ia jatuh dalam keadaan terlangkup. Perahu yang
tertangkup ini kemudiannya menjadi Tangkuban Perahu. Tidak jauh dari
situ terdapat satu bukit yang bernama Bukit Tunggul — iaitu hasil dari
pohon yang diguna membuat perahu itu. Sangkuriang dan Dayang
Sumbi dikatakan menghilangkan diri di dalam air tasik yang dibuat
Sangkuriang dan tiada khabar berita sehingga kini.
Begitulah serba sedikit pengupasan daripada mitos / lagenda cerita Tangkuban Perahu.